Sejarah Penubuhan

Institut Latihan Perindustrian (ILP) adalah di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM). Manakala JTM adalah di bawah Kementerian Sumber Manusia, Malaysia. Sejarah penubuhan Institut Latihan Jabatan Manusia ini telah bermula semenjak tahun 1964 lagi dengan penubuhan ILP Kuala Lumpur.

Seterusnya pada tahun 1982, ILP Pasir Gudang telah dibina dengan kedudukan kira-kira 35 km dari Bandaraya Johor Bahru dan 5 km dari Pusat Bandar Pasir Gudang. ILP Pasir Gudang adalah Institut Latihan Perindustrian ke 3 di Malaysia dan pertama di Zon Selatan ini berkeluasan 20 ekar. Institut ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Mak Hon Kam (Menteri Buruh) pada 11 Mei 1985 dan mula melatih serta mengeluarkan tenaga kerja mahir sejak 1982 lagi.

Antara kursus-kursus yang telah dijalankan pada awal operasinya adalah Mekanik Am, Pemesinan Am, Kimpalan Arka & Gas, Struktur Keluli, Mekanik Kenderaan Motor, Juruelektrik, Paip & Sanitari, Kayu & Tanggam dan Batu Bata. Seramai 80 orang lepasan ILP Pasir Gudang telah berjaya menamatkan latihan secara sepenuh masa pada keluaran yang pertama.

Bilangan pelajar terus meningkat dan pada tahun 1984 ILP Pasir Gudang mula menawarkan latihan separuh masa disamping latihan sepenuh masa. Sehingga kini ILP Pasir Gudang telah berjaya menjadi institusi latihan pilihan dengan 12 kursus pelbagai bidang Kejuruteraan iaitu Kejuruteraan Mekanikal, Elektrik, Elektronik dan Pengeluaran. ILP Pasir Gudang juga telah melatih lebih kurang 40 000 tenaga kerja mahir pelbagai bidang dan sentiasa relevan dengan keperluan industri.

 

Portal ini telah dijana dalam/ This page was generated in : 5.151 seconds. Kali terakhir dikemaskini pada/ Last updated at 18-09-2019 15:45:44