JOHOR BAHRU, 22 Mei 2025 – Jabatan Tenaga Manusia (JTM) melalui Unit Jalinan Industri (UJI) telah mengadakan satu sesi pembentangan dan perbincangan di Sekolah Kebangsaan Maju Jaya, Johor Bahru sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan dan merancang pelaksanaan Program Sekolah Angkat Madani (SAM).
Delegasi JTM yang diketuai oleh Hajah Norlisa Rahmat, Ketua Unit Jalinan Industri merangkap Urusetia Program SAM JTM, telah disambut oleh Tuan Suliman bin Kamsor, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru, bersama Tuan Dilie @ GL Shamsyul, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Maju Jaya.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Tuan Haji Zuraidy bin Kadir, TPO ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai, serta Encik Muhammad Rizal bin Rahmat, Naib Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Maju Jaya.
Dalam sesi pembentangan tersebut, Hajah Norlisa menjelaskan bahawa Program Sekolah Angkat Madani merupakan satu inisiatif yang bertujuan memperkasa komuniti sekolah melalui pelbagai projek pembangunan yang bersifat relevan, inklusif dan mampan. Antara fokus utama perbincangan termasuklah cadangan projek-projek awal serta skop pelaksanaan program berdasarkan keutamaan dan keperluan semasa pihak sekolah.
Program SAM ini merupakan sebahagian daripada pendekatan holistik JTM dalam menyokong pembangunan sosial dan ekonomi di peringkat akar umbi, khususnya melalui institusi pendidikan. Ia dijangka mampu memberikan impak positif terhadap kualiti pendidikan, kehidupan komuniti sekolah dan hubungan erat antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat.
Pelaksanaan program ini selaras dengan aspirasi kerangka MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, pembangunan lestari dan pembinaan insan seimbang sebagai teras kemajuan negara.
