PASIR GUDANG, 5 Oktober 2025 – Festival Layang-Layang Kebangsaan Pasir Gudang yang berlangsung dari 1 hingga 5 Oktober 2025 di Bukit Layang-Layang berjaya menarik penyertaan pelbagai agensi, institusi pendidikan dan peminat seni layang-layang dari seluruh negara.
Antara yang turut serta ialah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, yang menghantar dua orang wakil, iaitu Encik Muhammad Faizul bin Arshad dan Encik Zahari bin Ramli, bagi menyertai Bengkel Pembuatan Wau Tradisi yang diadakan dari 3 hingga 5 Oktober 2025.
Selain itu, kampus berkenaan juga mengambil bahagian dalam Rokkaku Challenge pada 4 dan 5 Oktober 2025 dengan penyertaan lima (5) pasukan melibatkan seramai 20 orang peserta. Dalam pertandingan tersebut, pasukan ADTEC Pasir Gudang berjaya menduduki tempat kelima daripada 22 penyertaan, satu pencapaian membanggakan buat institusi berkenaan. Pengarah Kampus ADTEC Pasir Gudang, Ts. Dr. Azli Amin bin Ahmad Raus, turut hadir memberi sokongan padu kepada para peserta bengkel wau tradisi dan pertandingan rokkaku.
Majlis penutup festival ini telah diadakan di Dewan Tunku Laksamana Jalil, Politeknik Ibrahim Sultan, dengan penyampaian hadiah dan penghargaan kepada para pemenang serta peserta. Penyertaan dalam aktiviti seumpama ini bukan sahaja dapat memperkukuh semangat kebersamaan dan kreativiti peserta, malah turut memupuk minat terhadap seni warisan tradisional yang menjadi lambang identiti bangsa.
