Johor Bahru, 26 April 2026 – ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai telah menyertai Star Education Fair yang berlangsung pada 25 hingga 26 April 2026 di Persada Johor International Convention Centre anjuran Star Media Group.
Penyertaan ini merupakan salah satu inisiatif strategik dalam mempromosikan program latihan kemahiran TVET kepada masyarakat, khususnya pelajar sekolah dan ibu bapa yang hadir merancang hala tuju pendidikan masa depan.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan di reruai pameran ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, termasuk sesi taklimat berkaitan program pengajian, peluang kerjaya serta laluan pendidikan dalam bidang kemahiran. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran pengunjung yang menunjukkan minat tinggi terhadap program yang ditawarkan.
Dianggarkan seramai 200 orang pengunjung telah mengunjungi reruai ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang sepanjang dua hari pameran berlangsung. Interaksi secara langsung ini memberi peluang kepada pihak ADTEC untuk menyampaikan maklumat secara lebih jelas dan mendalam kepada bakal pelajar serta ibu bapa.
Penyertaan dalam program seperti ini diharap dapat terus memperkukuh peranan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang sebagai institusi peneraju dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan TVET.
