07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Pada 11 Februari 2026 (Rabu), pihak ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah melaksanakan aktiviti Brisk Walk sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sihat kampus. Untuk makluman, aktiviti senaman rutin lazimnya diadakan dua (2) minggu sekali pada setiap hari Rabu. Namun begitu, pada kali ini pihak kampus telah mengambil pendekatan berbeza dengan menganjurkan aktiviti brisk walk ke Taman Rekreasi Sungai Buluh.

Aktiviti ini melibatkan laluan pergi dan balik dengan jumlah jarak keseluruhan sejauh lima (5) kilometer. Program ini bertujuan untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus, meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan daya tahan badan, mengurangkan tekanan serta meningkatkan kesejahteraan mental, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kerja berpasukan.

Program dimulakan dengan sesi regangan ringan bagi mengelakkan risiko kecederaan otot. Seterusnya, para peserta memulakan aktiviti brisk walk menuju ke Taman Rekreasi Sungai Buluh sebelum berpatah balik ke kampus serta aktiviti senaman aerobik ringkas di Dataran Sg Buloh dengan pimpinan En Redha. Sepanjang pelaksanaan aktiviti, para peserta menunjukkan komitmen dan semangat yang tinggi, sekali gus memastikan program berjalan dengan lancar dan teratur.

Antara kebaikan yang diperoleh melalui aktiviti ini termasuklah meningkatkan kesihatan jantung dan sistem peredaran darah, membantu pembakaran kalori serta kawalan berat badan, meningkatkan tahap tenaga dan fokus dalam tugasan harian, serta memberi pendedahan kepada persekitaran semula jadi yang menyumbang kepada ketenangan minda.

Secara keseluruhannya, aktiviti Brisk Walk sejauh lima (5) kilometer ini telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan mencapai objektif yang telah ditetapkan. Program seumpama ini wajar diteruskan secara berkala bagi membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.

Skip to content