Program BPPL On The Ground bersama pelajar telah berjaya dilaksanakan di Surau ADTEC JTM Kampus Senai menerusi anjuran Bahagian Pengurusan Pelajar dan Latihan pada 6 Mei 2026. Program ini merupakan inisiatif mendekati pelajar secara langsung bagi menyuntik kesedaran, motivasi serta memperkukuh jati diri dalam kalangan mahasiswa.
Slot utama bertajuk “Menjana Semangat Belia Progresif” telah disampaikan oleh Tn. Hj. Noorazam bin Yaakob, Pegawai BPPL. Penyampaian beliau menekankan peranan penting golongan belia sebagai agen perubahan serta keperluan membina sikap bertanggungjawab dalam aspek akademik, sahsiah dan kehidupan seharian.
Antara fokus utama yang diketengahkan ialah isu ketidakhadiran pelajar ke kelas yang semakin membimbangkan. Justeru, program ini dilaksanakan sebagai salah satu usaha proaktif untuk:
- Menyedarkan pelajar tentang kepentingan disiplin dan komitmen terhadap pembelajaran
- Membentuk sikap tanggungjawab sebagai seorang belia yang berperanan dalam masyarakat
- Menanam nilai kesungguhan, amanah dan kesedaran terhadap masa depan diri.
Program ini turut memberi ruang interaksi dua hala antara pelajar dan penceramah, sekali gus membolehkan perkongsian pandangan serta penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi oleh pelajar. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam membina kesedaran dan semangat baharu dalam kalangan pelajar agar lebih progresif, berdisiplin dan berdaya saing. Usaha seperti ini diharapkan dapat diteruskan secara berterusan bagi melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah. Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
