Pasir Gudang, 27 Ogos 2025 – Seramai 849 peserta yang terdiri daripada 738 orang pelajar dan 111 orang kakitangan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang – Senai telah menjayakan program Briskwalk Merdeka 2025 sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Program bermula dengan senaman ringan sebelum dilepaskan secara rasmi oleh Tn. Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Ts. Dr. Haji Azli Amin Bin Ahmad Raus. Perjalanan sejauh 2.8 kilometer bermula dari Kampus ADTEC JTM Pasir Gudang menuju ke Taman Rekreasi Sungai Buluh telah menceriakan suasana dengan derapan kaki peserta yang penuh bersemangat patriotik.
Selain aktiviti briskwalk, pelbagai acara sampingan bertemakan kemerdekaan turut diadakan, antaranya:
• Pertandingan menyusun Puzzle Wajah Perdana Menteri Malaysia,
• Pertandingan Menyusun Lirik Lagu Patriotik,
• Pertandingan Pakaian Beragam Bertema Pahlawan,
• Nyanyian Lagu Merdeka, serta
• Sesi bergambar beramai-ramai.
• Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan Taman Rekreasi Sungai Buluh sebagai simbol tanggungjawab sosial dan semangat cintakan alam sekitar.
Penganjuran Briskwalk Merdeka 2025 bukan sahaja menjadi platform untuk meningkatkan tahap kecergasan warga ADTEC, malah turut mengukuhkan semangat kebersamaan dan cintakan tanah air. Semoga program ini menjadi titik tolak untuk kita terus menyemarakkan semangat patriotik dalam diri, di samping mengamalkan gaya hidup sihat.
Suasana ceria jelas terpancar apabila pelajar dan kakitangan bersama-sama menyertai pertandingan yang berlangsung penuh warna-warni. Kehadiran yang memberangsangkan membuktikan sokongan padu seluruh warga ADTEC terhadap usaha memperkukuhkan semangat kebangsaan dan kekitaan.
Briskwalk Merdeka 2025 diakhiri dengan nyanyian lagu Tanggal 31, Lagu Warisan dan Lagu Jalur Gemilang serta sesi bergambar beramai-ramai sebagai kenangan indah buat semua yang hadir.
