10 Februari 2026 – Biro Kerohanian dengan kerjasama Biro Asrama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah berjaya menganjurkan program Character Building Series yang berlangsung di Surau Al Mawaddah pada jam 7.30 malam hingga 8.30 malam.
Program ini telah disampaikan oleh Tuan Haji Noorazam bin Yaakob, Pegawai Bahagian Pengurusan Pelajar dan Latihan (BPPL), ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.
Pengisian ceramah memberi penekanan kepada pembinaan sahsiah pelajar melalui pengukuhan nilai kerohanian, disiplin diri serta tanggungjawab sebagai pelajar dan bakal tenaga kerja masa hadapan.
Antara pengisian utama program adalah penekanan kepada kepentingan menjaga harta awam khususnya kemudahan asrama dan peralatan bengkel. Pelajar diingatkan bahawa setiap kemudahan yang disediakan adalah amanah yang perlu dipelihara bersama.
Perbuatan merosakkan harta benda, melakukan vandalisme atau penyalahgunaan kemudahan bukan sahaja menyalahi peraturan institusi, malah bertentangan dengan nilai akhlak dan ajaran Islam.
Program ini juga bertujuan memberi peringatan kepada pelajar tentang larangan melakukan perbuatan fasad serta menggalakkan budaya saling menjaga, bertanggungjawab dan menghargai kemudahan yang disediakan demi keselesaan bersama.
Di akhir program, satu sesi pertemuan ringkas telah diadakan bersama Ketua Biro Asrama bagi membincangkan isu-isu berkaitan kebajikan pelajar asrama, pemantauan kemudahan serta usaha berterusan dalam memastikan suasana asrama sentiasa berada dalam keadaan kondusif, selamat dan terpelihara.
Program ini mendapat sambutan yang amat baik dengan kehadiran pelajar daripada pelbagai semester selaras dengan hasrat pihak ADTEC untuk melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja cemerlang dalam kemahiran teknikal, malah mempunyai jati diri, akhlak dan sahsiah terpuji.
Pihak ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang akan terus komited dalam memastikan pembangunan sahsiah dan kerohanian pelajar diperkasakan secara berterusan melalui pelbagai program berimpak tinggi.
Diharapkan program sebegini dapat memberi kesedaran dan motivasi kepada pelajar dalam membentuk keperibadian unggul serta mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian.
