ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang menerima kunjungan istimewa daripada Puan Norhayati binti Kadir, bekas pelajar dalam bidang Teknologi Pemesinan Sesi 2/1989 pada 14 Mei 2026. Beliau yang mempunyai tiga orang anak lelaki nyata begitu yakin terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila kesemua anaknya turut menceburi bidang kemahiran sebagai laluan masa depan.
Salah seorang daripada anak beliau merupakan bekas pelajar ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dalam bidang Teknologi Pembuatan (Perkakasan Dai) Sesi 2/2023 dan kini telah berjaya bekerja dalam industri berkaitan bidang yang dipelajari.
Kepercayaan dan keyakinan beliau terhadap kualiti latihan TVET terus diterjemahkan apabila memilih ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang sebagai tempat latihan dan pengajian buat anak bongsunya.
Sempena lawatan tersebut, Puan Norhayati turut dibawa melawat secara ringkas ke bengkel Teknologi Pembuatan (Perkakasan Dai) serta berpeluang bertemu dengan para pengajar bagi melihat sendiri perkembangan semasa latihan dan fasiliti yang disediakan oleh pihak kampus.
Beliau juga sempat berkongsi sedikit kata-kata motivasi dan pengalaman kepada para pelajar sebagai inspirasi bahawa bidang TVET mampu membuka peluang kerjaya yang luas serta menjamin masa depan sekiranya dimanfaatkan dengan bersungguh-sungguh.
Semoga kisah inspirasi ini menjadi pembakar semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang kemahiran dan seterusnya melahirkan lebih ramai graduan TVET berkualiti pada masa hadapan.
