07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Pasir Gudang, 11 Disember 2025 – Bengkel Teknologi Elektrik, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah menganjurkan Kursus Kad Hijau CIDB (SICW) yang berlangsung di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Kursus ini dikendalikan oleh penceramah berpengalaman, En. Kamaruzaman bin Mohd Salleh, Pengajar SICW dari Akademi Binaan Malaysia Wilayah Selatan.

Program ini melibatkan penyertaan pelajar Teknologi Elektrik semester 2 dan turut disertai pelajar Teknologi Kimpalan dari IKBN Bandar Penawar. Penganjuran kursus ini bertujuan memberikan pendedahan asas keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada para pelajar, di samping melengkapkan mereka dengan kelayakan wajib untuk memasuki tapak pembinaan. Selain itu, ia turut menyokong usaha membentuk budaya kerja selamat, meningkatkan kebolehpasaran melalui pensijilan yang diiktiraf industri, serta memastikan pelajar memahami peranan, hak dan tanggungjawab mereka dalam aspek keselamatan di tapak bina.

Kursus ini merangkumi lima modul utama iaitu pengenalan undang-undang, peraturan keselamatan, kesihatan dan persekitaran tapak bina; asas perancangan dan pengurusan risiko; kerja-kerja berisiko tinggi; persekitaran kerja dan hazard kesihatan; serta kemudahan kebajikan dan keselamatan. Penganjuran kursus ini diharapkan dapat memantapkan pengetahuan pelajar dalam aspek keselamatan industri pembinaan dan mempersiapkan mereka dengan kompetensi asas sebelum memasuki dunia pekerjaan.

Secara keseluruhannya, Kursus Kad Hijau CIDB (SICW) ini berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh pengetahuan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, di samping memupuk kesedaran tentang kepentingan budaya kerja selamat di tapak pembinaan. Ilmu yang diperoleh diharapkan dapat diaplikasikan dalam latihan industri dan kerjaya masa hadapan, sekaligus meningkatkan kompetensi serta kebolehpasaran graduan dalam sektor teknikal dan pembinaan. Program seperti ini wajar diteruskan bagi memastikan pelajar sentiasa bersedia menghadapi keperluan dan cabaran industri sebenar.

Skip to content