Pada 13 Mei 2026, satu Lawatan Jalinan Industri telah diadakan ke Jabatan Standard Malaysia (JSM), Cyberjaya yang melibatkan seramai lapan orang delegasi daripada ADTEC JTM Kampus Taiping, Shah Alam dan Pasir Gudang di bawah Kluster Perkhidmatan Kejuruteraan (KPK). Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik antara JTM dan JSM khususnya dalam aspek standard, kualiti dan pembangunan kompetensi teknikal.
Delegasi telah disambut oleh pegawai daripada Jabatan Standard Malaysia iaitu Puan Anuratha Sivam dan Puan Siti Rohaya Binti Omar daripada Bahagian Perancangan Strategik. Sesi perbincangan telah dijalankan dengan memberi fokus kepada potensi kerjasama yang boleh dilaksanakan antara kedua-dua pihak.
Antara perkara yang dibincangkan ialah kolaborasi bersama JSM berkaitan penganjuran program Kesedaran Seminar Kualiti bagi memberi pendedahan kepada tenaga pengajar dan pelajar mengenai kepentingan standard serta amalan kualiti dalam industri. Selain itu, turut dibincangkan cadangan pelaksanaan Pertandingan Standard Kualiti sebagai platform untuk meningkatkan kefahaman dan penglibatan pelajar terhadap aplikasi standard dalam bidang teknikal dan inovasi.
Perbincangan juga melibatkan rujukan kepada Dokumen Malaysia Standard (MS) sebagai bahan sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar kandungan latihan yang dilaksanakan selari dengan kehendak industri semasa. Kerjasama ini diharapkan dapat membantu meningkatkan tahap kompetensi pelajar ADTEC JTM serta memperkukuhkan budaya kualiti dalam institusi latihan.
Secara keseluruhannya, lawatan ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan membuka peluang kepada pelaksanaan kerjasama yang lebih erat antara ADTEC JTM dan Jabatan Standard Malaysia pada masa akan datang.
