Pada 26 Januari 2026 telah berlangsung Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai sempena Perhimpunan Bulanan Staf Bil. 1/2026 bertempat di Dewan Kuliah Utama. Majlis ini dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Am & Pembangunan Insan dengan kerjasama Bahagian Khidmat Pengurusan.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Bangsa Johor, Lagu Kebangsaan “Negaraku” dan Lagu Rasmi JTM, diikuti bacaan Ikrar Rukun Negara oleh En. Muhammad Arif serta bacaan doa oleh Ustaz Hamzi. Seterusnya, majlis memperkenalkan pegawai baharu iaitu Ustaz Hamzi, Pn. Azizan dan En. Sani dari ADTEC JTM Kampus Mersing serta Pn. Nurulidayu dari ADTEC JTM Kampus Miri.
Perhimpunan diteruskan dengan Bicara Ilmiah bertajuk “Kemukjizatan Israk Mikraj” yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Ariff Afdlin. Turut diadakan slot penerangan mengenai Cuti Tanpa Rekod Kelompok oleh Pn. Norafidah serta perkongsian Latihan Sangkutan Industri oleh lapan orang pegawai.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan aluan dan Amanat Tahun Baharu 2026 oleh YBhg. Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai. Dalam ucapannya, beliau turut membuat sorotan amanat YB Menteri KESUMA dan YBhg. Datuk Ketua Pengarah JTM, seterusnya menekankan fokus kepada SKU jabatan untuk dihayati dan dipraktikkan sepanjang tahun 2026.
Antara intipati utama amanat yang disampaikan adalah:
-Komitmen dan dedikasi tinggi semua staf dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
-Setiap tugas dan tanggungjawab dilaksanakan dengan sempurna demi kecemerlangan kampus.
-Penekanan kepada pematuhan tempoh masa dalam setiap pelaksanaan kerja.
-Kesedaran bahawa setiap tindakan memberi kesan kepada orang lain.
-Mengamalkan sikap saling menghormati, bekerjasama dan menyayangi bagi mewujudkan persekitaran kerja yang ceria.
-Menanam nilai istiqamah dalam setiap perkara yang dilakukan.
-Memperkukuh integriti serta meningkatkan kualiti diri dan kerja secara berterusan.
-Berani mencabar keupayaan kampus melalui tindakan, inisiatif dan pendekatan baharu.
-Selain itu, beberapa fokus strategik turut digariskan, antaranya:
-Kecekapan dan keanjalan (agile) dalam pengurusan pentadbiran;
-Pendigitalan pengurusan kampus;
-Naik taraf kemudahan kolej, infrastruktur dan tahap pembelajaran daripada sijil ke diploma;
-Rasionalisasi bidang dengan fokus kepada bidang baharu berimpak tinggi;
-Memastikan pelajar dan graduan membawa imej positif ADTEC serta menjadi duta kampus melalui media sosial;
-Pengurusan peruntukan yang lebih cekap dan berstrategi;
-Penyertaan dan kejayaan dalam pertandingan sepanjang tahun 2026;
-Pelaksanaan projek KAM dan SAM yang memberi manfaat kepada komuniti setempat;
-Pempameran kejayaan kampus dan alumni melalui galeri dan bahan visual;
-Pengukuhan kolaborasi dengan industri termasuk di peringkat antarabangsa;
-Peningkatan produk TVET Tourism;
-Pelaksanaan job rotation antara kampus dan dalam kampus;
-Pembelajaran sepanjang hayat dan penambahbaikan latihan secara berterusan;
-Mekanisme kenaikan pangkat yang lebih sistematik dan berkesan.
Program diakhiri dengan Penyampaian Hadiah Fit & Fab, cabutan bertuah serta sesi meraikan hari lahir staf bagi bulan Januari dan Februari. Majlis ini bukan sahaja menjadi platform penting dalam menggariskan hala tuju kampus bagi tahun 2026, malah berjaya memperkukuhkan semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan warga ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai.
