Pada 6 Disember 2025, Surau Al-Mawaddah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah mengadakan satu majlis ringkas sebagai tanda penghargaan kepada para pelajar yang konsisten menunaikan solat Subuh berjemaah serta aktif mengikuti slot-slot tarbiah rohani sepanjang sesi 2/2025.
Program ini bertujuan membina budaya rohiyah yang positif dalam kalangan pelajar, di samping menggalakkan kecintaan kepada masjid dan penghayatan ibadah secara berterusan. Melalui komitmen mereka dalam amalan harian, para pelajar telah menunjukkan disiplin, kesungguhan dan semangat ukhuwah yang tinggi.
Majlis turut diserikan dengan aktiviti santai seperti sesi barbeku yang dikendalikan sendiri oleh para pelajar sebagai simbolik kebersamaan dan penghargaan atas usaha mereka. Suasana ceria dan ukhuwah jelas terpancar apabila para pelajar bergotong-royong menyediakan hidangan sambil berinteraksi dalam suasana harmoni.
Program ini diharapkan dapat terus memupuk semangat kecintaan kepada surau, meningkatkan nilai disiplin ibadah, serta menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk sama-sama mengimarahkan surau dan program kerohanian pada masa akan datang.
