07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Pasir Gudang, 10 Februari 2026 – ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah melakar satu lagi pencapaian apabila berjaya menganjurkan Majlis Perasmian ADTEC PG Primefit Gym, sebuah fasiliti kecergasan baharu yang bertujuan memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Dr. Haji Azli Amin bin Ahmad Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ts. Eza Binti Monzaid, Timbalan Pengarah Latihan, Tuan Haji Zuraidy bin Kadir, Timbalan Pengarah Operasi, serta warga kerja ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.

Acara dimulakan dengan gimik perasmian potong riben sebagai simbolik pembukaan rasmi gimnasium tersebut.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan tandatangan plak perasmian oleh Tuan Pengarah sebagai tanda pengiktirafan terhadap penubuhan fasiliti berkenaan.

Bagi menzahirkan komitmen terhadap gaya hidup aktif, Tuan Pengarah turut membuat demonstrasi penggunaan Multi-Station Workout Machine dengan melakukan dua senaman iaitu Chest Press dan Lat Pull Down, sekali gus menandakan kemudahan tersebut sedia digunakan oleh seluruh warga kampus.

Majlis turut menyaksikan penyerahan Bola Ikonik Bunga Raya kepada tuan pengarah sempena penubuhan Pasukan Ragbi ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, yang melambangkan semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan kecemerlangan pelajar dalam bidang kokurikulum.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenangan dan simbol kejayaan penganjuran program tersebut.

Dengan perasmian ADTEC PG Primefit Gym ini, pihak ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang berharap kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan tahap kecergasan fizikal, kesejahteraan mental serta membentuk warga institusi yang lebih produktif dan berdaya saing.

Skip to content