07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

11 Mac 2026 – Surau ADTEC Senai telah menjadi lokasi berlangsungnya program “Malam Tautan Ukhuwah Alumni” yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama pengurusan surau. Program ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara para alumni dan warga kampus di samping mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti ibadah.

Program dimulakan pada jam 8.00 malam dengan sesi tazkirah ringkas yang disampaikan oleh alumni jemputan iaitu Mohd Hafiz bin Ali, bekas pelajar program Teknologi Pembuatan (Pemesinan). Beliau juga merupakan mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi tahun 2022 dan dikenali sebagai tokoh pelajar pada zamannya atas kepimpinan serta penglibatan aktif beliau dalam pelbagai program pembangunan pelajar di kampus.

Dalam perkongsiannya, beliau menekankan kepentingan menjaga ukhuwah, menghargai peluang menuntut ilmu serta terus memperbaiki diri walaupun telah menamatkan pengajian. Beliau turut mengajak para pelajar agar memanfaatkan bulan Ramadan sebagai ruang untuk meningkatkan amalan dan membina sahsiah diri yang lebih baik.

Selepas sesi tazkirah, para hadirin menunaikan solat Isyak dan seterusnya solat sunat Tarawih secara berjemaah yang dipimpin oleh beliau sendiri, sekali gus memberi peluang kepada para pelajar dan hadirin merasai suasana ibadah bersama alumni yang kembali menabur bakti kepada institusi.

Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar, alumni serta warga kampus yang hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.

Penganjuran program seperti ini diharap dapat menjadi platform bagi mengukuhkan jaringan hubungan antara alumni dan institusi, selain menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuhkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga ADTEC Senai.

Skip to content