28 April 2026, Pasir Gudang – Jabatan Akademik & Pembangunan Insan dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan (KSDK) serta Surau Al-Mawaddah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai telah menganjurkan satu Kursus Persijilan Profesional Pengurusan Jenazah Berasaskan Kompetensi TVET.
Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan kefahaman yang menyeluruh kepada peserta berkaitan tatacara pengurusan jenazah menurut syariat Islam, di samping membangunkan kemahiran praktikal berasaskan kompetensi dalam kalangan peserta. Kursus ini juga bertujuan melahirkan individu yang berilmu, berkemahiran dan berkeyakinan dalam melaksanakan fardu kifayah dengan sempurna serta dapat menyumbang khidmat kepada komuniti apabila diperlukan.
Kursus ini telah dilaksanakan sepenuhnya oleh Ustaz Mohamad Ariff Afdlin bin Faizan, pengajar Jabatan Akademik & Pembangunan Insan yang juga merupakan pemegang Tauliah Mengajar dan Memberi Syarahan Agama Islam Negeri Johor. Kursus ini telah disertai oleh lebih kurang 200 peserta yang merangkumi komuniti setempat, staf serta pelajar kampus. Sepanjang pelaksanaan kursus, peserta turut diberi pendedahan secara praktikal berkaitan kaedah memandikan dan mengkafankan jenazah, di mana mereka juga berpeluang untuk melaksanakan sendiri proses tersebut di bawah bimbingan tenaga pengajar.
Kesimpulannya, penganjuran kursus ini bukan sahaja berjaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam pengurusan jenazah, malah turut menyemai kesedaran tentang kepentingan pelaksanaan fardu kifayah dalam masyarakat. Diharapkan ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaiknya serta menjadi satu nilai tambah dalam memperkukuh hubungan antara institusi dan komuniti setempat.
