Mersing, 20 April 2026 – ADTEC JTM Kampus Kampus Pasir Gudang telah membuktikan komitmen jitu dalam memacu kelestarian tenaga melalui kolaborasi strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menjayakan Projek CSR ECO_PV BOT 2026 (Fasa 3). Program yang berlangsung di kawasan Penyabung dan Mersing ini memfokuskan kepada usaha menaik taraf bot-bot nelayan tempatan dengan mengintegrasikan teknologi solar PV.
Kemuncak program telah diserikan dengan majlis perasmian yang berlangsung pada 20 April 2026. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Ts. Dr. Azli Amin bin Ahmad Raus, yang hadir bagi menerima sijil penghargaan sebagai pengiktirafan ke atas sumbangan dan kerjasama erat institusi dalam menjayakan inisiatif kelestarian ini.
Penyertaan teknikal bagi projek ini telah disertai oleh tiga pegawai iaitu Pn. Zatulmaharah binti Bai’an @ Byin, Pn. Kamariah binti Abd Rahman, dan En. W. Mahmudul Hasan bin W. Zolkipli. Sebagai rakan kerjasama, pasukan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang terlibat sepenuhnya dalam proses pemasangan sistem solar PV dan junction box secara terus pada bot-bot nelayan. Inisiatif lapangan ini merupakan platform penting bagi para peserta untuk menterjemahkan kemahiran teknikal yang diperoleh daripada fasa pemindahan ilmu terdahulu ke dalam aplikasi sebenar.
Secara keseluruhannya, projek ini bukan sekadar tentang pemasangan perkakasan teknikal semata-mata, malah ia adalah simbol semangat gotong-royong antara institusi pendidikan dan masyarakat. Bagi wakil ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, pengalaman turun padang di Jeti Penyabung dan Jeti Mersing ini memberikan memori berharga serta kepuasan luar biasa apabila dapat melihat teknologi solar PV mula menyinari bot-bot nelayan tempatan. Misi hijau ini membuktikan bahawa apabila ilmu di dada digabungkan dengan niat yang murni, impaknya mampu mengubah kehidupan komuniti menjadi lebih baik dan lestari.
