PASIR GUDANG | SENAI, 21 Januari 2026 – Komitmen berterusan memperkasa kebolehpasaran graduan TVET dizahirkan melalui penganjuran Modul Hak Pekerja bersempena Seminar Kerjaya Pelajar Semester Akhir Sesi 1/2026, anjuran Jabatan Akademik dan Pembangunan Insan (JAPI) di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai.
Seramai 199 pelajar semester akhir dari kedua-dua kampus terlibat, dengan fokus menyeluruh terhadap perlindungan sosial, perancangan kewangan dan kefahaman undang-undang pekerjaan, persediaan kritikal sebelum melangkah ke alam kerjaya sebenar.
Slot pembukaan menampilkan ceramah “Perlindungan Keselamatan Sosial” oleh wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), yang menghuraikan peranan serta kepentingan perlindungan keselamatan sosial dalam menjamin kebajikan dan kelangsungan pekerja.
Momentum diteruskan melalui slot “Skim KWSP dan Manfaatnya” oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kehadiran pegawai-pegawai KWSP dari ibu pejabat memberikan impak signifikan, termasuk pelaksanaan soal selidik di Kampus Senaibagi menilai keberkesanan sistem KWSP baharu. Inisiatif ini membuka ruang dialog dua hala, membolehkan pelajar menyumbang maklum balas secara langsung.
Dalam masa yang sama, pembukaan akaun i-Akaun KWSPmenerima sambutan amat menggalakkan apabila dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh pelajar kampus, ini mencerminkan kesedaran awal yang tinggi terhadap kepentingan perancangan kewangan dan simpanan persaraan.
Slot penutup disampaikan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM)menerusi ceramah “Hak dan Tanggungjawab dalam Pekerjaan, yang memberi pencerahan jelas mengenai hak pekerja serta tanggungjawab majikan selaras peruntukan undang-undang buruh semasa.
Seminar ini telah mencapai KPI dan objektif dengan cemerlang, apabila ketiga-tiga slot berjaya memperkukuh pemahaman pelajar dari aspek perlindungan sosial, pengurusan kewangan hingga kesedaran hak dan tanggungjawab, sekali gus memperkasa kesiapsiagaan graduan TVET untuk melangkah yakin ke alam pekerjaan.
