07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

1 Mac 2026 Bahagian Pengurusan Pelajar dan Latihan Pelajar (BPPL) ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai telah menganjurkan Program MPP Leadership & Management Bootcamp selama dua hari bermula 28 Februari hingga 1 Mac 2026 di ADTEC JTM Kampus Senai. Program ini bertujuan memperkukuh kemahiran kepimpinan, pengurusan organisasi serta kecekapan komunikasi dalam kalangan pemimpin pelajar.

Program bermula seawal jam 6.45 pagi dengan pergerakan pelajar ke kampus Senai diikuti sesi ice breaking dan penetapan minda bagi membina semangat kerjasama. Peserta seterusnya didedahkan kepada Pengurusan Acara dan Protokol Majlis oleh Ts. Wan Zainah binti Wan Ismail serta slot Think–Act–Improve: PDCA dalam Tindakan oleh Tn Hj. Zuraidy bin Kadir bagi meningkatkan kecekapan perancangan dan penyelesaian masalah.

Pada sebelah petang, peserta mengikuti bengkel Pengurusan Dokumentasi merangkumi penulisan kertas kerja, memo dalaman, minit mesyuarat dan laporan program menggunakan Google Drive. Hari pertama diakhiri dengan pembentangan kumpulan serta Majlis Berbuka Puasa bersama pengarah, diikuti solat terawih dan sesi refleksi malam.

Hari kedua dimulakan dengan pengurusan diri, sahur dan kuliah Subuh sebelum aktiviti energizer dan PowerPitch MPP yang memberi peluang kepada peserta mengasah kemahiran komunikasi dan keyakinan diri. Slot kepimpinan bertajuk “Lead to Inspire, Inspire to Lead” telah disampaikan oleh Ts. Dr. Hj. Azl Amin bin Ahmad Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai, yang menekankan peranan pemimpin pelajar sebagai agen perubahan dan inspirasi.

Majlis perasmian program turut diadakan bersama Pengarah dan sesi bergambar. Peserta kemudiannya mengikuti latihan Pengurusan Data menggunakan Google Sheets, Google Form & Google Calendar serta bengkel Reka Bentuk dan Komunikasi Visual menggunakan Canva bagi meningkatkan kemahiran digital selaras dengan keperluan kepimpinan masa kini.
Program diakhiri dengan pembentangan kumpulan, sesi rumusan dan refleksi sebelum peserta berangkat pulang ke Kampus Pasir Gudang.

Secara keseluruhannya, bootcamp ini berjaya meningkatkan kemahiran kepimpinan, pengurusan dan kompetensi digital dalam kalangan MPP, sekali gus melahirkan pemimpin pelajar yang lebih profesional, berdaya saing dan bersedia memimpin organisasi pelajar dengan berkesan.

Skip to content