Pasir Gudang, 14 Mei – Pasukan e-sukan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang berjaya mencipta pencapaian membanggakan apabila pasukan Blitz Warrior mara ke peringkat separuh akhir dan memperoleh tempat keempat dalam Pertandingan Mobile Legend 2026 yang berlangsung sempena Karnival Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Peringkat Antarabangsa (INERIC 2026).
Pertandingan yang berlangsung selama dua hari bermula 13 hingga 14 Mei 2026 di Bilik Huawei ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang itu telah mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 39 pasukan yang dibahagikan kepada tiga kategori.
ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah menghantar dua wakil pasukan iaitu Lucifer Triber dan Blitz Warrior bagi menyertai pertandingan tersebut. Kedua-dua pasukan menunjukkan semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama yang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung.
Pasukan Blitz Warrior yang terdiri daripada empat orang pelajar Kampus Pasir Gudang dan seorang pelajar Kampus Senai berjaya memberikan saingan sengit kepada pasukan lain sebelum menamatkan pertandingan di kedudukan keempat keseluruhan.
Penyertaan pasukan ADTEC JTM PGS bukan sahaja bertujuan untuk bertanding, malah menjadi platform untuk mengetengahkan nilai JAPI iaitu Jujur, Amanah, Profesional dan Integriti dalam kalangan pelajar. Selain itu, pertandingan ini turut mencerminkan nilai utama ADTEC JTM seperti kecemerlangan, inovasi, kerja berpasukan dan semangat daya saing dalam melahirkan pelajar TVET yang holistik serta berkualiti.
Para peserta juga berjaya menunjukkan kemahiran komunikasi, pemikiran strategik dan kebolehan menyelesaikan masalah ketika menghadapi cabaran sepanjang pertandingan berlangsung. Sokongan padu daripada para penyokong turut memeriahkan suasana pertandingan dan membakar semangat setiap pasukan yang bertanding.
Pihak jawatankuasa berterima kasih kepada semua pihak yang merealisasikan program ini, khususnya Ts. Dr. Hj. Azli Amin Bin Ahmad Raus, barisan pengurusan tertinggi, Pihak Pentadbiran, Warden, BPSM, dan juga Ketua Jabatan Akademik dan Pembangunan Insan.
Secara keseluruhannya, penyertaan pasukan ADTEC JTM dalam pertandingan ini berjaya mengharumkan nama institusi serta membuktikan bahawa pelajar bukan sahaja cemerlang dalam bidang kemahiran, malah mampu menyerlah dalam arena e-sukan secara profesional dan kompetitif.
