07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Scorp Robot Team telah menyertai JTM International AI & Robotic Carnival 2026 (AIROC’26) yang berlangsung pada 24 hingga 26 April 2026 di ADTEC JTM Kampus Taiping, Perak. Penyertaan ini melibatkan beberapa kategori pertandingan robotik serta aktiviti berteraskan teknologi dan kecerdasan buatan.

Bagi kategori Robot Sumo 1kg RC, pasukan Scorp telah menghantar dua robot. Scorp B yang diwakili oleh En. Muhamad Faizul bin Arshad dan Sornavarman a/l Satiamurthi berjaya mara sehingga ke pusingan ke-5. Manakala Scorp A yang diwakili oleh En. Mohammad Ridzuan bin Kasnaini dan Muhammad Haikal bin Md. Hafez berjaya mara sehingga ke pusingan ke-2.

Untuk kategori Robot Soccer, penyertaan telah diwakili oleh Naim Irfan bin Mohd Akbar Taib dan Mohd Hidayat bin Hanafiah. Pasukan Scorp (W026 SCORP) telah memberikan saingan sengit namun tewas di Losers Round 3 dengan keputusan 2–3 kepada W010 RKC ALPHA, sekali gus menamatkan cabaran dalam pertandingan tersebut.

Selain itu, Pertandingan Reka Cipta Video AI dan Poster AI turut berlangsung dengan meriah di Makmal Komputer BPSM, ADTEC JTM Kampus Taiping. Program ini melibatkan dua kategori utama iaitu pelajar dan pengajar yang menampilkan kreativiti serta inovasi dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan karya digital yang menarik dan berimpak tinggi. Bagi kategori Poster AI, penyertaan Scorp Robot Team telah diwakili oleh En. Mohd Azri Fahmy bin Haji Azman. Walaupun tidak memperoleh kemenangan, penyertaan ini berjaya mengetengahkan idea kreatif serta mencerminkan penguasaan teknologi digital yang baik, selaras dengan usaha memperkasa kemahiran IR 4.0 dan pembangunan bakat teknologi masa hadapan.

Sepanjang program berlangsung, Seminar Artificial Intelligence (AI) turut diadakan dengan penglibatan barisan penceramah berpengalaman dari industri, agensi kerajaan dan akademik seperti Mr. Arin Danish (CEO Intelilabs AI Solution), En. Muhammad Reza Pahlevi (Director of Alpha Mechatronics and Robotics & AI Indonesia Association – ARKAI), Ts. Saifuddin bin Mohd (Senior Assistant Director, Digital Consultancy Division, Jabatan Digital Negara) serta Dr. Hoo Seng Chun (Pensyarah JMTI). Seminar ini memberi pendedahan menyeluruh berkaitan aplikasi serta potensi teknologi AI dalam sektor industri dan pendidikan, di samping memperkukuh kefahaman peserta terhadap peranan AI dalam mendukung transformasi digital negara. Seminar ini turut disertai oleh En. Muhamad Faizul bin Arshad, En. Mohamad Nazreen bin Mohd Kamal, En. Mohd Azri Fahmy bin Haji Azman dan En. Mohammad Ridzuan bin Kasnaini.

Secara keseluruhannya, penyertaan Scorp Robot Team dalam AIROC’26 memberi pengalaman yang sangat berharga dalam meningkatkan kemahiran teknikal, semangat berpasukan serta pendedahan kepada teknologi masa hadapan.

Skip to content