Lawatan Verifikasi Pegawai Pengesah Luaran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Panel Penilai Luar Suruhanjaya Tenaga telah berjaya dilaksanakan bagi pelajar semester akhir Program Teknologi Elektrik di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.
Pada 1 hingga 3 April 2026, sesi verifikasi Pegawai Pengesah Luaran (PPL) telah dijalankan oleh Tc. Imran Bin Harron dari Johor Skills Development Centre. Penilaian ini dilaksanakan bagi memenuhi keperluan verifikasi SKM Tahap 3 bagi NOSS F432-005-3:2019 Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik Tiga Fasa. Pihak kampus turut berbangga kerana beliau merupakan alumni Program Teknologi Elektrik ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.
Sepanjang sesi verifikasi, pelajar telah melalui beberapa komponen penilaian iaitu peperiksaan teori, peperiksaan amali dan verifikasi portfolio yang berjalan dengan lancar serta mematuhi keperluan yang ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran. Sesi ini juga menjadi platform perkongsian kepakaran dan pengalaman secara dua hala dalam usaha memperkukuhkan kualiti pelaksanaan program TVET khususnya dalam bidang elektrik.
Seterusnya, pada 6 hingga 10 April 2026, telah berlangsung sesi verifikasi Panel Penilai Luar bagi Persijilan Profesional Pendawaian Elektrik Tiga Fasa PW4 oleh Encik Joye Tingkolou dan Encik Mahda Bin Da’adi dari ADTEC JTM Kampus Labuan. Penilaian ini melibatkan Ujian Teori, Ujian Amali dan Ujian Lisan yang dilaksanakan mengikut standard yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga.
Kedua-dua sesi penilaian telah berlangsung dengan lancar hasil komitmen padu barisan pengurusan kampus yang diterajui oleh Ts. Dr. Hj. Azli Amin Bin Ahmad Raus, Pengarah Kampus, serta Ts. Eza Binti Monzaid, Timbalan Pengarah Latihan, bersama sokongan para pengajar Bahagian Teknologi Elektrik yang diketuai oleh Ts. Siti Aidah Binti Wardi.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada panel pemverifikasi JPK dan Suruhanjaya Tenaga, kesemua 24 orang pelajar berjaya lulus peperiksaan akhir SKM Tahap 3 dan Persijilan PW4.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan kompeten selaras dengan keperluan industri negara.
