Kulai, 12 Mac 2026 – Seramai 40 orang pelajar daripada ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan ADTEC JTM Kampus Senai telah menyertai Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Masjid Taman Sri Pulai Perdana dalam suasana penuh penghayatan dan semangat ukhuwah.
Program yang diadakan bersempena bulan Ramadan ini bertujuan menyemarakkan penghayatan ibadah dalam kalangan belia serta menggalakkan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti masjid dan komuniti. Sepanjang program berlangsung, para peserta terlibat dalam pelbagai pengisian kerohanian dan aktiviti kemasyarakatan.
Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah sesi tadarus Al-Quran yang disertai oleh 40 orang pelajar, di samping penglibatan pelajar dalam aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk bersama komuniti setempat sebagai persediaan juadah berbuka puasa.
Selain itu, program turut dimeriahkan dengan penganjuran pertandingan Tilawah Al-Quran dan pertandingan Azan yang memberi peluang kepada para peserta menonjolkan bakat serta memperkasa syiar Islam dalam kalangan generasi muda.
Lebih membanggakan, peserta daripada ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah berjaya merangkul tempat pertama dan tempat ketiga dalam pertandingan yang dianjurkan, sekali gus mengharumkan nama institusi di peringkat negeri.
Penglibatan aktif pelajar dalam program seumpama ini diharapkan dapat membentuk sahsiah diri yang lebih cemerlang, memperkukuhkan nilai kepimpinan serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan belia, khususnya dalam mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah.
Program ini juga selari dengan usaha melahirkan generasi muda yang seimbang dari aspek kemahiran teknikal, sahsiah dan kerohanian.
