Seramai 24 orang pelajar ADTEC JTM Kampus Senai telah menyertai Festival Belia Negeri Johor 2026 yang berlangsung di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Iskandar Puteri, Johor pada 8 Ogos 2026. Festival ini merupakan salah satu platform menghimpunkan golongan belia dalam pelbagai aktiviti yang berteraskan kreativiti, kemahiran, sukan, komuniti dan pembangunan potensi belia.
Rombongan pelajar ADTEC JTM Kampus Senai telah diiringi oleh Encik Redha Anwar bin Mohamad, Penolong Pegawai Belia dan Sukan. Penyertaan ini memberi peluang kepada para pelajar untuk bersama-sama memeriahkan festival di samping membina semangat kekitaan, mengeratkan hubungan sesama belia serta mendapatkan pengalaman melalui pelbagai aktiviti yang disediakan.
Kesemua peserta turut mengambil bahagian dalam majlis perasmian Festival Belia Negeri Johor 2026 dan bersama-sama memeriahkan suasana sambutan yang menghimpunkan para belia dari seluruh negeri Johor yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.
Selain itu, para pelajar turut mengambil kesempatan untuk mencuba pelbagai aktiviti menarik sepanjang festival, antaranya permainan e-sukan (e-sport), pickleball serta beberapa aktiviti rekreasi dan interaktif yang lain. Penglibatan dalam aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja memberikan pengalaman baharu kepada pelajar, malah dapat menggalakkan gaya hidup aktif, semangat kesukanan dan penggunaan masa lapang secara positif.
Lebih menceriakan penyertaan rombongan ADTEC JTM Kampus Senai apabila terdapat pelajar yang berjaya menerima hadiah melalui cabutan bertuah yang diadakan sepanjang festival. Momen tersebut turut menambahkan lagi kemeriahan dan keterujaan para peserta.
Secara keseluruhannya, penyertaan ADTEC JTM Kampus Senai ke Festival Belia Negeri Johor 2026 telah memberikan pengalaman yang bermakna kepada para pelajar. Program sebegini wajar diteruskan sebagai medium untuk memperkasa penglibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan, kesukanan dan pembangunan diri selaras dengan aspirasi melahirkan generasi muda yang aktif, berdaya saing dan berketerampilan.
