Pasir Gudang, 7 Mei 2026 – Satu sesi perbincangan telah diadakan bagi membincangkan pelaksanaan kursus jangka pendek dengan persijilan OPITO dalam bidang Instrumen dan Mekanikal di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang yang melibatkan kira-kira 90 orang pelajar daripada UniKL-MITEC.
Perbincangan ini telah diketuai oleh Ts Eza binti Monzaid, Timbalan Pengarah Latihan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang bersama wakil UniKL-MITEC yang diketuai oleh Hj Mohamad Shahrul Effendey bin Kosnan, Head of Section (Oil and Gas Section) dan Dr Mahzan bin Johar, Head of Section, Advancement & Continuing Education (ACE)
Selain sesi perbincangan, pihak UniKL-MITEC turut dibawa melawat ke Bengkel Instrumen Perindustrian dan Bengkel Penyenggaraan Mekanikal bagi melihat sendiri fasiliti, peralatan latihan serta kemudahan pembelajaran yang terdapat di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Lawatan ini memberi gambaran lebih jelas berkaitan keupayaan kampus dalam melaksanakan latihan berasaskan industri dan pensijilan profesional.
Sesi perbincangan ini memberi fokus kepada peluang kerjasama dalam pelaksanaan latihan dan pensijilan berkaitan industri minyak dan gas, di samping memperkukuhkan jaringan strategik antara institusi TVET dan industri.
Diharapkan kerjasama ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada para pelajar untuk meningkatkan kompetensi, kemahiran teknikal serta kebolehpasaran graduan selaras dengan kehendak industri semasa.
