PASIR GUDANG, 16 Mac 2026 – ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai telah menganjurkan Perhimpunan Pelajar dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengarah yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama dan Surau kampus.
Majlis ini diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak pengurusan, warga pengajar serta para pelajar di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Program dimulakan dengan ketibaan Pengarah, diikuti dengan nyanyian lagu, bacaan doa, ucapan aluan oleh Ts. Wan Zainah Binti Wan Ismail, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Pelajar dan Latihan (BPPL).
Majlis diteruskan lagi dengan ucapan serta amanat YBrs. Ts. Dr. Haji Azli Amin bin Ahmad Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai. Dalam ucapannya, Tuan Pengarah merakamkan penghargaan serta rasa bangga terhadap pelbagai kejayaan yang telah dicapai oleh kampus sepanjang tempoh kebelakangan ini. Beliau menegaskan bahawa kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama yang erat antara para pelajar dan tenaga pengajar yang sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Beliau turut mengingatkan para pelajar agar terus mengekalkan semangat kerjasama, disiplin serta kecemerlangan dalam setiap bidang yang diceburi demi mengharumkan nama institusi pada masa hadapan.
Selain itu, sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga kampus. Beliau juga menasihati para pelajar agar sentiasa menjaga keselamatan diri sepanjang tempoh cuti perayaan selama 12 hari, terutamanya ketika pulang ke kampung halaman.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Kampus Pasir Gudang serta penyampaian sumbangan duit raya melalui inisiatif ADTEC PGS Prihatin kepada para pelajar yang terpilih sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan pihak kampus.
Program diakhiri dengan majlis berbuka puasa yang dihadiri oleh warga ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai dalam suasana penuh muhibah dan kekeluargaan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat terus memperkukuh hubungan antara warga kampus serta memupuk nilai kebersamaan, keprihatinan dan semangat kekitaan dalam kalangan seluruh komuniti ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.
