07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

30 Januari 2026 – Perhimpunan Bulanan Pelajar ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah berlangsung dengan penuh harmoni di Dewan Kuliah Utama bermula jam 8.00 pagi. Perhimpunan ini merupakan perhimpunan pelajar yang pertama bagi tahun 2026.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Bangsa Johor, Lagu Korporat Jabatan Tenaga Manusia serta Lagu ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai, diikuti bacaan Ikrar dan doa. Seterusnya, majlis diteruskan dengan slot pengenalan Buku Tatatertib Disiplin Pelajar ILJTM yang disampaikan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Pegawai Kesatria En Redha Anwar bin Mohamad. Melalui slot ini, para pelajar diingatkan tentang keperluan mematuhi peraturan dan disiplin, khususnya ketika menjalani Latihan Industri.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Ts Dr Haji Azli Amin bin Ahmad Raus. Beliau mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada seramai 146 orang pelajar baharu yang kini menjadi sebahagian daripada warga ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Beliau turut menasihatkan pelajar senior agar bersama-sama membimbing dan menjaga kebajikan pelajar baharu, serta menegaskan bahawa amalan buli perlu dijauhi dan tidak sama sekali dijadikan sebagai budaya suai kenal antara pelajar lama dan baharu.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan para pelajar supaya sentiasa menghormati semua kakitangan, khususnya para pengajar yang telah banyak menyumbangkan tenaga, masa dan idea demi memastikan institusi kekal relevan dengan kehendak industri.

Beliau turut menyentuh kejayaan program MyFutureJobs yang telah dianjurkan pada 25 Januari 2026, yang menerima sambutan memberangsangkan daripada pencari kerja serta pelajar ADTEC JTM yang sedang mencari penempatan Latihan Industri. Selain itu, beliau menggalakkan para pelajar agar sentiasa mendekatkan diri dengan program-program keagamaan bagi memperkukuh jati diri, di samping menitikberatkan aspek disiplin serta keselamatan diri.

Seterusnya, Tuan Pengarah turut mengucapkan tahniah kepada barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang telah dilantik hasil Pilihan Raya Kampus yang diadakan pada 28 Januari 2026. Pilihan raya tersebut mencatatkan kadar keluar mengundi sebanyak 95.96% bagi Kampus Pasir Gudang, manakala peratusan keseluruhan bagi kedua-dua kampus adalah 96.77%. Pelantikan ini menandakan permulaan era kepimpinan baharu yang diharapkan mampu membawa perubahan positif, memperkukuh kerjasama antara pelajar dan pihak pengurusan, serta memacu pelbagai inisiatif pembangunan sahsiah dan akademik dalam kalangan komuniti pelajar. Kejayaan barisan kepimpinan ini juga mencerminkan komitmen mereka untuk memikul amanah dengan penuh integriti, dedikasi dan semangat berkhidmat demi kepentingan bersama.

Majlis diteruskan dengan penyampaian watikah pelantikan kepada barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar bagi tahun 2026 dan majlis diakhiri dengan bacaan ikrar Majlis Perwakilan pelajar yang telah di ketuai oleh Saudara Aliff bin Mat Ariffin selaku Presiden.

Skip to content