30 Januari 2026 – Perhimpunan Bulanan Pelajar ADTEC JTM Kampus Senai telah berlangsung dalam dalam suasana yang harmoni dan tertib di Dewan Seri Johor bermula jam 3.00 petang. Perhimpunan ini merupakan perhimpunan pelajar yang pertama bagi tahun 2026.
Perhimpunan ini telah dihadiri oleh Pengarah, Ts. Dr. haji Azli Amin bin Ahmad Raus, Timbalan Pengarah Latihan Ts. Eza binti Monzaid, Timbalan Pengarah operasi Tuan Haji Zuraidy bin Kadir, Ketua- Ketua Bahagian, pengajar-pengajar serta urusetia BPPL dari ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Bangsa Johor, Lagu Korporat Jabatan Tenaga Manusia serta Lagu ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai, diikuti bacaan Ikrar dan doa. Seterusnya, majlis diteruskan dengan slot pengenalan Buku Tatatertib Disiplin Pelajar ILJTM yang disampaikan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Pegawai Kesatria En Redha Anwar bin Mohamad. Melalui slot ini, para pelajar diingatkan tentang keperluan mematuhi peraturan dan disiplin, khususnya ketika menjalani Latihan Industri.
Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Ts Dr Haji Azli Amin bin Ahmad Raus, yang mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada 24 orang pelajar baharu ADTEC JTM Kampus Senai. Beliau menasihatkan pelajar senior agar membimbing pelajar baharu serta menegaskan supaya amalan buli dijauhi.
Beliau turut mengingatkan para pelajar agar sentiasa menghormati kakitangan, khususnya para pengajar, di samping menyentuh kejayaan program MyFutureJobs yang dianjurkan pada 25 Januari 2026. Dalam masa yang sama, pelajar digalakkan menyertai program keagamaan serta sentiasa menitikberatkan aspek disiplin dan keselamatan diri.
Tuan Pengarah mengingatkan para pelajar di kampus ini agar sentiasa bersyukur atas kemudahan yang telah disediakan, yang disifatkan lebih baik berbanding Kampus Pasir Gudang dan kampus-kampus lain. Beliau turut memaklumkan bahawa kemudahan yang masih belum tersedia, khususnya kemudahan sukan, sedang dalam usaha untuk diwujudkan demi kegunaan dan kebajikan para pelajar. Tuan pengarah juga memaklumkan akan diadakan pertandingan video tik tok yang akan diselaraskan oleh Bahgaian Pengurusan Sumber Maklumat (BPSM) dan Bahagian Pengurusan Pelajar dan Latihan (BPPL) yang dijangka diadakan pada bulan Ramadan tahun ini.
Seterusnya, Tuan Pengarah turut mengucapkan tahniah kepada barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang telah dilantik hasil Pilihan Raya Kampus yang diadakan pada 28 Januari 2026. Pilihan raya tersebut mencatatkan kadar keluar mengundi sebanyak 100% bagi Kampus Senai, sekali gus mencerminkan tahap kesedaran serta komitmen warga Kampus Senai yang amat tinggi dalam proses pemilihan wakil pelajar.
Majlis diteruskan dengan penyampaian watikah pelantikan kepada barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar bagi tahun 2026 dan majlis diakhiri dengan bacaan ikrar Majlis Perwakilan pelajar yang telah di ketuai oleh Saudara Mohamad Fiqri Danial Bin Mohd Firdaus selaku Naib Presiden.
