4 Mac 2026 – ADTEC JTM Kampus Senai telah menganjurkan Perhimpunan Pelajar yang menghimpunkan pelajar, pegawai serta kakitangan kampus dalam satu majlis yang penuh bermakna dan bermanfaat.
Majlis bermula pada jam 2.15 petang dengan ketibaan para pelajar, diikuti ketibaan pegawai dan kakitangan kampus pada 2.25 petang. Ketibaan Tuan Pengarah ADTEC JTM Kampus Senai pada 2.30 petang menandakan bermulanya majlis secara rasmi.
Atur cara dimulakan dengan nyanyian lagu rasmi, diikuti bacaan Ikrar Rukun Negara serta bacaan doa bagi memohon keberkatan dan kelancaran majlis. Program diteruskan dengan Slot Buku Peraturan Tatatertib Pelajar / Taklimat Kesatria yang memberi penekanan kepada isu pemalsuan dokumen yang dikategorikan sebagai kesalahan berat.
Seterusnya, majlis turut menampilkan ucapan oleh Pegawai Pengurusan Bahagian Pembangunan Latihan Pelajar (PP BPPL) yang menekankan kepentingan integriti, disiplin serta komitmen pelajar dalam mencapai kecemerlangan walaupun dalam keadaan sedang berpuasa. Kaunselor kampus turut menyampaikan taklimat berkaitan kesejahteraan emosi dan kepentingan membuat pilihan yang bijak dalam kehidupan pelajar.
Majlis diteruskan dengan ucapan, Pengarah ADTEC JTM Kampus Senai turut menyeru para pelajar agar sentiasa menjaga disiplin, memanfaatkan peluang pembelajaran yang disediakan serta berusaha menjadi graduan TVET yang berkualiti dan berdaya saing.
Majlis kemudiannya diserikan dengan Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Sesi 2/2025 sebagai penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi akademik yang membanggakan. Selain itu, turut diadakan penyampaian Bakul ADTEC PG Prihatin serta sumbangan Hari Raya kepada golongan asnaf sebagai tanda keprihatinan pihak institut. Majlis berakhir pada jam 4.00 petang.
