Kg Sinaran Baru, 28 Julai 2025 – Sebuah sesi perjumpaan rasmi telah diadakan antara pihak ADTEC JTM dan wakil komuniti Kampung Sri Aman dalam usaha memperkukuh pelaksanaan Projek Kampung Angkat Madani (KAM) dan inisiatif KAM–TVET OJT (On-the-Job Training).
Perjumpaan ini diketuai oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Kampus Senai, Ts. Dr. Haji Azli Amin bin Ahmad Raus, dan turut disertai oleh Ketua Kampung Sri Aman dan Rangkaian, Encik Rafizal bin Ahmad Rafi, serta barisan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Sesi ini memberi ruang kepada perbincangan dua hala mengenai peranan strategik Ketua Kampung dan JPKK dalam menjayakan pelaksanaan projek KAM. Antara fokus utama adalah memberi pencerahan tentang objektif, pelaksanaan serta manfaat projek KAM kepada komuniti, khususnya melalui penyertaan dalam program TVET berbentuk latihan industri (OJT).
Pertemuan ini juga membuka peluang pertukaran maklumat dan pandangan konstruktif, sekaligus mengukuhkan kerjasama antara pihak agensi latihan teknikal dan komuniti tempatan demi pembangunan modal insan serta kemajuan sosioekonomi kampung.
Projek Kampung Angkat Madani merupakan inisiatif yang selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkasa masyarakat luar bandar melalui pendidikan teknikal dan latihan kemahiran.
