07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Senai, 4 Mei 2026 – Biro Kerohanian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ADTEC JTM Kampus Senai telah berjaya menganjurkan program Pro Youth Motivation Siri 3: Perjalanan Hidup Seorang Muslim yang berlangsung di Surau ADTEC JTM Kampus Senai dengan kehadiran pelajar yang amat menggalakkan.

Program ini menampilkan penceramah jemputan, Dr. Mohamad Syawal Nizam bin Md Bakri dari Universiti Teknologi Malaysia, yang menyampaikan perkongsian bertajuk Perjalanan Hidup Seorang Muslim. Dalam penyampaian tersebut, beliau menekankan bahawa kehidupan seorang Muslim merupakan satu perjalanan yang bermula dari kelahiran, melalui pelbagai ujian dan cabaran, sehinggalah kembali kepada Allah SWT.

Para peserta didedahkan dengan pengisian yang menyentuh aspek tujuan hidup, kepentingan menjaga hubungan dengan Allah (hablum minallah) serta hubungan sesama manusia (hablum minannas). Selain itu, penekanan turut diberikan kepada keperluan istiqamah dalam ibadah, pengurusan masa yang berkesan serta pembentukan akhlak mulia sebagai asas kejayaan di dunia dan akhirat.

Penyampaian yang jelas, santai dan penuh penghayatan berjaya memberi kesedaran kepada para pelajar tentang pentingnya membina jati diri sebagai seorang Muslim yang seimbang dari segi rohani, emosi dan intelek. Program ini secara tidak langsung membantu meningkatkan motivasi diri pelajar untuk terus memperbaiki amalan serta menetapkan matlamat hidup yang lebih jelas.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab sebagai seorang Muslim, di samping memperkukuh nilai kepimpinan dan sahsiah diri dalam kalangan warga ADTEC JTM Kampus Senai.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penceramah jemputan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan generasi pelajar yang cemerlang, berakhlak dan berdaya saing.

Skip to content