Pasir Gudang, 17 Mac 2026 – Seperti tahun-tahun sebelumnya, Program ADTEC PGS Prihatin sekali lagi dianjurkan bagi menyemarakkan semangat berkongsi rezeki di bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Program ini bertujuan membantu serta menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya di sekitar Pasir Gudang dan Senai. Pada tahun ini, Ustaz Muhammad Hamzi bin Mohammad Husham telah dilantik sebagai Pengerusi Program ADTEC PGS Prihatin.
Sebanyak 69 Bakul Prihatin yang mengandungi keperluan makanan telah berjaya disediakan dan diagihkan kepada penerima di kawasan sekitar Pasir Gudang dan Senai. Selain itu, 85 orang warga Kampus Pasir Gudang dan Senai turut menerima sumbangan duit raya.
Pemberian sumbangan di Kampus Senai telah diadakan pada 4 Mac yang lalu, manakala pemberian sumbangan di Kampus Pasir Gudang pula dilaksanakan pada 16 hingga 17 Mac 2026. Sumbangan telah disampaikan oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang & Senai, Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, kepada para penerima semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Pelajar dan Perhimpunan Bulanan Staf.
Program ini dapat direalisasikan hasil sumbangan ikhlas daripada staf, pelajar, alumni, Surau Al-Mawaddah Pasir Gudang, pihak syarikat serta orang awam yang bersama-sama berganding bahu menjayakan inisiatif murni ini.
Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang atas keprihatinan dan kemurahan hati yang ditunjukkan. Semoga setiap sumbangan yang diberikan dikurniakan sebaik-baik balasan serta menjadi asbab keberkatan buat semua.
