Pasir Gudang, 30 Ogos 2025 – Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) JTM Kampus Pasir Gudang telah mengambil bahagian dalam Program Ambang Merdeka SDE 2025 yang berlangsung di Kawasan Rehat & Rawat Layang, Arah Timur, Lebuhraya Senai – Desaru (E22).
Penyertaan ini adalah sebahagian daripada usaha menyokong pengisian sambutan ambang kemerdekaan anjuran E22 Lebuhraya Senai – Desaru. Reruai pameran ADTEC Kampus Pasir Gudang ini memfokuskan kepada pendedahan maklumat berkaitan program-program pengajian dan latihan kemahiran yang ditawarkan.
Sebagai nilai tambah kepada pengunjung, pihak kampus turut menyediakan aktiviti khusus iaitu pemeriksaan kereta secara percuma oleh pengajar dan pelajar-pelajar Bengkel Automotif dan juga Simulasi Welding Machine oleh pelajar-pelajar Bengkel Kimpalan yang memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman mengimpal secara maya.
Kedua-dua aktiviti ini telah berjaya menarik perhatian orang ramai kerana bukan sahaja memberi manfaat secara langsung, malah memperkenalkan bidang teknikal dan kemahiran kepada masyarakat khususnya generasi muda.
Penyertaan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dalam program ini diharap dapat memperkukuh hubungan erat dengan masyarakat setempat, di samping memperluas promosi bidang kemahiran yang berpotensi menjadi pilihan utama kerjaya masa depan.
