Pada 13 Februari 2026 (Jumaat) di Dewan Kuliah Utama, telah berlangsung dengan jayanya Program Ambang Ramadan 1447H/2026M yang melibatkan penyertaan seluruh warga ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai.
Program ini dianjurkan sebagai persediaan rohani dalam menyambut ketibaan bulan Ramadan Al-Mubarak, di samping memupuk penghayatan nilai keagamaan dan pengukuhan ukhuwah dalam kalangan warga kampus.
Program turut diserikan dengan ceramah Ambang Ramadan bertajuk “Bagaimanakah Jika Ini Ramadan Terakhirmu” yang telah disampaikan oleh Ustaz Fazrol Hazriek bin Jemain.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai, TS Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, yang turut menyampaikan sesi amanat dan motivasi kepada warga kampus. Turut berlangsung sesi penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan inovasi CITEC sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan dan inovasi warga ADTEC.
Selain itu, majlis turut menyaksikan penyampaian plak Anugerah 5 Bintang bagi sepuluh (10) program kepada semua Ketua Bahagian yang terlibat, yang telah disampaikan oleh Pengarah sebagai penghargaan atas komitmen dan pencapaian cemerlang dalam pelaksanaan program-program berkualiti di ADTEC.
Keunikan program ini turut diserikan dengan jamuan istimewa yang dimasak sendiri secara gotong-royong oleh staf dan pelajar, sekali gus mengeratkan hubungan silaturrahim serta semangat kebersamaan dalam komuniti kampus.
Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran warga kampus dalam membuat persediaan rohani menjelang Ramadan serta mengukuhkan budaya kehidupan berteraskan nilai Islam dalam kehidupan seharian. Semoga segala usaha yang dilaksanakan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.
