Pasir Gudang, 24 Februari 2026 – Pihak Pengurusan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) Negeri Johor atas sumbangan Program Ehsan Raya yang diberikan kepada pelajar-pelajar asnaf/B40 terpilih.
Program Ehsan Raya ini merupakan salah satu inisiatif Zakat TH yang dilaksanakan di peringkat negeri bagi menyantuni golongan asnaf dan mereka yang memerlukan. Menerusi program ini, seramai 50 orang pelajar ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah dipilih untuk menerima sumbangan sebagai persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban kewangan pelajar serta menceriakan suasana Aidilfitri mereka, di samping menyemai nilai keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam komuniti kampus.
Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, turut hadir menyaksikan sesi penyerahan sumbangan tersebut sebagai tanda sokongan terhadap usaha kebajikan yang dilaksanakan.
Beliau menzahirkan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan diperluaskan lagi agar lebih ramai pelajar daripada golongan asnaf dan B40 dapat menerima manfaat. Selain itu, beliau berharap agar sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu dari sudut kewangan, malah menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang kemahiran dan akademik.
Pihak ADTEC JTM sekali lagi merakamkan penghargaan kepada TH Negeri Johor atas komitmen berterusan dalam menyokong kebajikan pelajar. Semoga kerjasama strategik ini terus diperkukuh demi kesejahteraan dan masa depan pelajar.
