Program Kursus Jangka Pendek Penghasilan Baja Kompos telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan seramai 18 orang peserta pada 4 Mac 2026 di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Program ini melibatkan golongan rentan dan dilaksanakan dengan bimbingan Taskforce Baja Kompos ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Inisiatif Bersasar ADTEC JTM 2026 Siri 1, selaras dengan usaha memperkasa komuniti melalui perkongsian ilmu dan kemahiran berkaitan amalan kelestarian alam sekitar. Melalui gabungan sesi teori dan latihan praktikal, para peserta didedahkan kepada teknik penghasilan baja kompos daripada sisa organik dan landskap kampus. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurus sisa makanan secara mampan, malah menyokong pelaksanaan inisiatif ESG (Environmental, Social & Governance) serta projek inovasi hijau kampus.
Program ini juga menjadi platform perkongsian amalan lestari khususnya golongan rentan dalam memupuk kesedaran terhadap kepentingan kitar semula dan pengurusan sisa makanan secara lestari. Usaha seperti ini akan terus diperkasakan melalui penganjuran kursus dan program kesedaran ESG secara berkala bagi menyokong aspirasi Kampus Hijau dan mampan.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua peserta atas komitmen dan kesungguhan dalam menjayakan program ini. Semoga ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dan memberi impak positif kepada kelestarian alam sekitar.
