KOTA TINGGI, 24 Mei 2026 – Seramai 38 pelajar bersama 6 orang pegawai daripada ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah terlibat sebagai sukarelawan bagi menjayakan Program International Sunrise Trifest 2026 yang berlangsung di Sand & Sandals Desaru Beach Resort & Spa, Kota Tinggi, Johor.
Program anjuran 113 Triathlon Series dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi itu berlangsung seawal jam 4.30 pagi hingga 4.30 petang dengan penglibatan sukarelawan dalam pelbagai tugasan bagi memastikan kelancaran perjalanan program sepanjang acara berlangsung.
Para sukarelawan memainkan peranan penting dalam aspek pengurusan peserta, kawalan laluan, bantuan logistik, penyelarasan acara serta khidmat sokongan kepada pihak penganjur dan pengunjung. Komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para pelajar dan pegawai ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang mencerminkan semangat kesukarelawanan, disiplin serta kerjasama berpasukan yang cemerlang.
Penglibatan ini juga menjadi platform terbaik dalam membentuk sahsiah, kepimpinan dan pengalaman praktikal kepada para pelajar di samping mengukuhkan hubungan strategik antara institusi latihan kemahiran (TVET) dengan syarikat swasta dan agensi kerajaan.
Pihak ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai merakamkan penghargaan kepada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi Dan 113 Triathlon Series atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada para pelajar untuk bersama-sama menyumbang tenaga dalam menjayakan program bertaraf antarabangsa ini.
