Alhamdulillah, pada 16 Oktober 2025 (Khamis) telah berlangsung Program Irama Mawaddah 2025, menampilkan persembahan istimewa daripada Kumpulan Qasidah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Majlis ini diadakan di kediaman Founder Miragold sempena Majlis Aqiqah dan Kesyukuran kelahiran cahaya mata beliau.
Alunan indah selawat dan puji-pujian daripada Kumpulan Qasidah ADTEC berjaya menghidupkan suasana penuh syukur, kasih dan ketenangan. Setiap bait zikir dan selawat yang dialunkan memupuk rasa cinta kepada Rasulullah ﷺ serta menyemarakkan keberkatan majlis. Kehadiran para tetamu yang terdiri daripada keluarga, sahabat handai dan rakan niaga Miragold turut memeriahkan suasana dengan penuh kegembiraan dan rasa kesyukuran.
Program ini bukan sekadar persembahan seni Islamik, tetapi juga satu usaha untuk menghidupkan budaya cinta Rasul di samping meraikan kelahiran cahaya mata sebagai anugerah dan amanah Allah SWT. Semoga bayi yang diraikan membesar menjadi anak yang soleh, penyejuk hati ibu bapa, serta pembela agama dan bangsa.
Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada Founder Miragold sekeluarga atas jemputan dan layanan mesra, serta tahniah kepada seluruh Kumpulan Qasidah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang atas persembahan yang penuh beradab, harmoni dan berjiwa.
