SENAI, 25 Februari 2026 – Satu Program Pendidikan Pengundi telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Negeri Johor pada 25 Februari 2026 bertempat di Dewan Sri Johor, ADTEC JTM Kampus Senai.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 100 orang pelajar dan bertujuan memberi pendedahan awal berkaitan sistem demokrasi berparlimen, proses pilihan raya serta peranan dan tanggungjawab sebagai pengundi yang berdaftar.
Taklimat telah disampaikan oleh YBrs. Tn. Hj. Mohd Azhar bin Nasaruddin, Pegawai Unit Latihan SPR Johor. Dalam sesi tersebut, beliau menjelaskan secara terperinci berkenaan proses pendaftaran pemilih secara automatik, tatacara pengundian yang betul, peranan SPR dalam memastikan ketelusan pilihan raya serta kepentingan menolak sebarang bentuk salah laku pilihan raya.
Program ini turut memberi ruang interaksi dua hala antara pelajar dan penceramah melalui sesi soal jawab yang aktif dan informatif. Para pelajar menunjukkan minat dan komitmen tinggi dalam memahami tanggungjawab mereka sebagai warganegara yang prihatin serta berintegriti.
Penganjuran program ini diharap dapat melahirkan generasi muda yang celik demokrasi, memahami hak serta tanggungjawab sebagai pengundi, dan seterusnya menyumbang kepada kestabilan serta kematangan sistem demokrasi negara.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SPR Johor atas kesudian bekerjasama menjayakan program ini serta komitmen berterusan dalam memperkasakan pendidikan pengundi dalam kalangan belia.
