07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Pasir Gudang, Johor – Program Pendidikan Pengundi anjuran Unit Latihan, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Negeri Johor telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan lebih 300 orang pelajar dan kakitangan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang. Program ini bertujuan memberi pendedahan awal serta meningkatkan kefahaman warga institusi berkaitan sistem demokrasi dan proses pilihan raya di Malaysia. Taklimat telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Azhar bin Nasaruddin, Pegawai Unit Latihan SPR Negeri Johor.

Dalam sesi taklimat tersebut, beliau menghuraikan secara terperinci mengenai sejarah pilihan raya di Malaysia, peranan dan fungsi SPR, proses pendaftaran pemilih, tatacara pengundian, serta maklumat penting yang perlu diketahui oleh setiap warganegara yang layak mengundi. Penjelasan yang jelas dan interaktif berjaya menarik perhatian para peserta sepanjang program berlangsung.

Bagi memberi pengalaman lebih praktikal, satu simulasi pilihan raya turut diadakan. Beberapa orang pelajar telah dipilih untuk menjalani simulasi dalam pelbagai situasi sebenar proses pengundian, termasuk sebagai pengundi dan petugas saluran. Aktiviti ini membantu peserta memahami prosedur sebenar di pusat mengundi serta kepentingan integriti dalam sistem demokrasi negara.

Program diteruskan dengan aktiviti kuiz interaktif menggunakan aplikasi Kahoot yang menyaksikan penyertaan aktif para pelajar. Suasana dewan menjadi lebih meriah apabila para peserta bersaing menjawab soalan berkaitan topik yang telah dibentangkan.

Majlis diakhiri dengan sesi fotografi bersama pihak SPR Negeri Johor sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan atas kerjasama yang terjalin antara kedua-dua pihak.

Pihak ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Unit Latihan SPR Negeri Johor atas penganjuran program yang sangat bermanfaat ini. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan generasi muda yang celik demokrasi, berpengetahuan dan bertanggungjawab dalam melaksanakan hak sebagai pengundi.

Skip to content