Iskandar Puteri, 29 April 2026 – Seramai 40 orang peserta daripada ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah menyertai Program Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda Peringkat Negeri Johor 2026 yang berlangsung di Sireh Park, Iskandar Puteri.
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor ini bertujuan menggalakkan penglibatan aktif golongan belia dalam aktiviti pemeliharaan alam sekitar secara sukarela serta meningkatkan kesedaran terhadap isu perubahan iklim dan kelestarian bumi.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Pandak bin Ahmad, Ahli Dewan Negeri Johor bagi Kota Iskandar, selaku wakil rasmi kepada YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.
Sepanjang program, para peserta telah terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk senamrobik, pembersihan laluan hutan (trail), pelepasan ikan serta pertandingan pakaian kitar semula. Aktiviti ini bukan sahaja memupuk semangat cintakan alam sekitar, malah menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.
Penglibatan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dengan menghantar seramai 40 orang peserta mencerminkan komitmen institusi tersebut dalam menyokong agenda pembangunan belia dan pemeliharaan alam sekitar di peringkat negeri.
Program ini diharap dapat melahirkan generasi belia yang lebih peka, bertanggungjawab serta proaktif dalam memelihara alam sekitar demi kesejahteraan masa hadapan seiring dengan semangat Wira Kesuma yang diterapkan oleh Jabatan Tenaga Manusia.
