07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

14 April 2026 (Selasa) – ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Johor telah diberi penghormatan oleh Kementerian Sumber Manusia untuk menjadi hos dan sekretariat utama bagi Program Sesi Libat Urus (SLU) Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024.

Program berprestij ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan, iaitu Prof. Dr. Balakrishnan a/l Parasuraman, Ahli Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara; Haji Yusoff bin Harun, Setiausaha Majlis Perundingan Gaji Negara; Ts. Eza binti Monzaid, Timbalan Pengarah Latihan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai; serta Puan Rohana binti Wan Omar Fadzil, Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Johor.

Program ini turut melibatkan penyertaan seramai 25 orang wakil syarikat dan persatuan majikan serta 110 orang wakil kesatuan sekerja dan pekerja, sekali gus mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam menyumbang pandangan ke arah penambahbaikan dasar gaji minimum negara.

Sebagai sekretariat utama, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dipertanggungjawabkan untuk memastikan kelancaran perjalanan majlis. Tanggungjawab tersebut merangkumi pengurusan pendaftaran peserta, penyelarasan protokol, penyediaan sokongan teknikal, serta pengurusan jamuan sepanjang program berlangsung.

Program yang bermula seawal pagi ini diisi dengan pelbagai pengisian penting, termasuk taklimat oleh Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara, ceramah perburuhan yang disampaikan oleh Jabatan Tenaga Kerja, serta kemuncak acara iaitu sesi libat urus bersama wakil majikan, persatuan pekerja dan kesatuan sekerja.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen ADTEC JTM dalam menyokong usaha kerajaan memperkukuh dasar gaji minimum negara. Diharapkan segala pandangan dan input yang diperoleh dapat memberi impak positif kepada pembangunan sosioekonomi serta landskap pekerjaan di Malaysia.

Skip to content