Program Wacana Hala Tuju Ummah telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Surau Al-Mawaddah, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang pada 5 Mei 2026 hasil anjuran Biro Kerohanian MPP. Program ini menghimpunkan para pelajar dalam satu platform ilmiah yang terbuka bagi meluahkan pandangan, berkongsi idea serta membincangkan hala tuju umat Islam khususnya dalam kalangan generasi muda masa kini.
Program ini dikendalikan oleh Tn. Hj. Noorazam bin Yaakob selaku pemudahcara yang juga merupakan Pegawai BPPL serta Pengerusi JKK Surau. Beliau telah memimpin sesi wacana dengan pendekatan santai namun berfokus, sekaligus berjaya mencungkil pelbagai pandangan kritis dan bernas daripada para peserta.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai isu telah diketengahkan termasuk cabaran akidah dan jati diri, pengaruh media sosial, kepentingan ilmu serta peranan anak muda dalam memperkasa agama di era moden. Para peserta turut diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan secara terbuka dalam suasana harmoni dan penuh adab.
Program ini secara tidak langsung telah berjaya:
- Meningkatkan kesedaran pelajar terhadap tanggungjawab sebagai Muslim
- Membina pemikiran kritis dan kesedaran terhadap isu semasa umat
- Menggalakkan budaya dialog sihat dan berilmiah dalam kalangan pelajar.
Penganjuran program seperti ini dilihat sangat relevan dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi kemahiran teknikal, malah mempunyai kefahaman agama yang kukuh serta kepekaan terhadap cabaran semasa ummah.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah memperkasa pemikiran dan jati diri generasi muda Islam.
