07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Pasir Gudang, 12 Mac 2026 – Surau Al Mawaddah telah menganjurkan Program Wacana & Tarawih Alumni yang menampilkan alumni inspirasi, Mohd Hafiz bin Ali, sebagai pengisi utama program. Program ini berlangsung di Surau Al Mawaddah dan dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar ADTEC Pasir Gudang melalui Biro Kerohanian.

Program yang diadakan pada malam Khamis, 12 Mac 2026 bersamaan 22 Ramadan 1447H ini bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan serta memperkukuhkan hubungan silaturahim antara alumni dan para pelajar institusi.

Tokoh jemputan, Mohd Hafiz bin Ali merupakan Tokoh Pelajar tahun 2023 yang dikenali sebagai seorang alumni yang sangat aktif dalam pelbagai kegiatan sosial sepanjang pengajian beliau. Selain itu, beliau turut aktif menyertai pertandingan inovasi di peringkat institusi serta pernah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik bagi bidang Teknologi Pemesinan, sekali gus mencerminkan kecemerlangan beliau dalam aspek akademik dan sahsiah.

Dalam sesi wacana yang disampaikan, beliau berkongsi pengalaman sebagai bekas pemimpin pelajar serta menekankan kepentingan memanfaatkan usia muda dengan perkara yang bermanfaat, khususnya dalam meningkatkan ilmu, akhlak dan penglibatan dalam aktiviti kerohanian.

Program kemudiannya diteruskan dengan pelaksanaan solat sunat Tarawih berjemaah yang dipimpin oleh beliau sendiri, sekali gus menambahkan lagi penghayatan ibadah dalam kalangan para peserta yang hadir.

Penganjuran program ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi budaya mengimarahkan surau dalam kalangan warga kampus, di samping menggalakkan para pelajar untuk terus mendekatkan diri kepada Al-Quran dan ibadah khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Program seumpama ini juga dilihat mampu menjadi platform yang berkesan dalam membentuk generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang kemahiran, malah memiliki sahsiah dan jati diri yang tinggi selari dengan aspirasi pembangunan modal insan negara.

Skip to content