Para pelajar ADTEC Kampus Pasir Gudang di bawah naungan Biro Kerohanian dan Khidmat Sosial Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah menjayakan program khidmat masyarakat ‘Project Sunshine – A Day of Care and Joy’ pada 27 Julai 2025, bertempat di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf, Halo Prihatin, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang.
Seramai 12 orang pelajar bersama 2 pegawai pengiring terlibat secara aktif dalam program ini. Aktiviti sukarelawan yang dilaksanakan meliputi pembaikan pempaipan tempat wudhuk dan dobi, saluran paip singki yang tersumbat, plug dan suis lampu dan grill yang rosak, membersihkan longkang dan kawasan sekitar, mengemas rumah, beramah mesra dan bermain futsal bersama anak-anak serta menyampaikan tazkirah motivasi.
Pada sebelah petang, acara diteruskan dengan jamuan santai dan alunan bacaan qasidah bersama anak-anak penghuni rumah kebajikan. Pengurus Rumah Halo Prihatin melahirkan rasa sangat terharu dan berterima kasih atas komitmen, kepakaran teknikal, dan semangat sukarelawan yang ditunjukkan oleh para pelajar ADTEC.
Program ini membuktikan bahawa pelajar TVET bukan sahaja cemerlang dalam kemahiran teknikal, tetapi juga memiliki nilai kemanusiaan, keprihatinan dan semangat memberi. Tahniah kepada semua pelajar ADTEC Kampus Pasir Gudang yang terlibat atas kejayaan menjayakan Project Sunshine!
