07-2544170 , Fax: 07-2511910 adtecjtmpg@jtm.gov.my

Pasir Gudang, 13 Mac 2026 – Surau Al Mawaddah telah menganjurkan program “Quranic Finale: Khatam Al-Quran Perdana dan Tazkirah Ramadan” yang berlangsung di Surau Al Mawaddah dengan penyertaan warga kampus yang terdiri daripada staf dan pelajar.

Program ini merupakan anjuran Jawatankuasa Surau Al Mawaddah dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sebagai salah satu inisiatif mengimarahkan bulan Ramadan melalui penghayatan Al-Quran dan pengisian kerohanian dalam kalangan warga ADTEC.

Majlis dimulakan dengan acara Khatam Al-Quran Perdana yang disertai oleh para staf dan pelajar sebagai simbolik penutup kepada pengisian tadarus Al-Quran sepanjang bulan Ramadan. Program ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah ADTEC JTM kampus Pasir Gudang,Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, yang bersama-sama menyertai serta memberi sokongan kepada penganjuran program berteraskan kerohanian ini.

Selepas majlis khatam Al-Quran, program diteruskan dengan sesi Tazkirah Ramadan yang telah disampaikan oleh Mohamad Anas bin Mohamad Yaakub daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Dalam tazkirah tersebut, beliau menekankan kepentingan menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup serta mengajak para hadirin untuk terus memperbanyakkan amalan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT khususnya di bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi budaya membaca dan menghayati Al-Quran dalam kalangan warga ADTEC di samping membentuk sahsiah pelajar yang seimbang dari aspek kemahiran, intelektual serta kerohanian.

Program Quranic Finale ini juga dilihat sebagai platform yang signifikan dalam mengukuhkan ukhuwah antara staf dan pelajar serta memupuk semangat kebersamaan dalam mengimarahkan institusi surau sebagai pusat pembangunan rohani warga kampus.

Skip to content