Program Sembang Global Alumni: Live from USA telah berjaya dilaksanakan secara dalam talian melalui platform Google Meet pada 16 April 2026 (Rabu) jam 9.30 malam. Program ini merupakan inisiatif dalam memperkasakan jaringan alumni serta memberi pendedahan global kepada para pelajar, khususnya dalam kalangan pelajar TVET.
Program ini menampilkan alumni ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, iaitu Mohamad Zulhelmi Bin Jamaluddin, lepasan sesi kemasukan tahun 2011 dalam bidang Instrumen. Beliau kini berkhidmat sebagai Sales Manager & Project Engineer di Kejuruteraan Petrojaya Sdn. Bhd., dan telah berkongsi pengalaman kerjaya serta pendedahan industri termasuk penglibatan di peringkat antarabangsa.
Program ini telah dikendalikan oleh Tn. Hj. Noorazam bin Yaakob daripada Bahagian Pengurusan dan Latihan (BPPL), ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang selaku hos yang memastikan perjalanan program berjalan lancar dan interaktif.
Menariknya, dalam perkongsian beliau, Mohamad Zulhelmi mendedahkan bahawa pada peringkat awal, beliau langsung tidak berminat dalam bidang kejuruteraan dan memasuki institusi atas dorongan ibu bapa. Malah, beliau pernah sengaja menunda pendaftaran dan bertekad untuk berhenti pengajian. Namun begitu, titik perubahan berlaku apabila beliau mula tertarik dengan aktiviti-aktiviti di surau yang membentuk disiplin diri, jati diri serta suasana positif dalam kalangan rakan-rakan.
Penglibatan tersebut telah memberi kesan besar kepada dirinya sehingga beliau membatalkan hasrat untuk berhenti dan mula mencuba untuk meneruskan pengajian dengan lebih bersungguh-sungguh. Dari situlah bermulanya perjalanan beliau sehingga berjaya mencapai kedudukan yang membanggakan dalam bidang kejuruteraan hari ini.
Sepanjang sesi bual bicara, beliau turut mengupas perjalanan kerjaya, cabaran dalam bidang teknikal, kepentingan kemahiran insaniah seperti komunikasi dan kepimpinan, serta keperluan untuk sentiasa meningkatkan kompetensi diri bagi kekal relevan dalam era globalisasi.
Selain itu, beliau turut memberikan nasihat dan suntikan motivasi kepada para peserta agar sentiasa berusaha memperkasa diri, berdisiplin serta berani mencabar diri untuk meneroka peluang di peringkat antarabangsa. Program ini juga diserikan dengan sesi soal jawab interaktif yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada para peserta.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif dalam memberi inspirasi serta meningkatkan kesedaran mengenai peluang kerjaya global dalam kalangan pelajar dan alumni TVET.
Diharapkan agar lebih banyak program seumpama ini dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi melahirkan graduan TVET yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global.
