3 Februari 2026, Pasir Gudang, — Liga Bola Sepak Piala Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang Sesi 1/2026 telah membuka tirainya dengan penuh meriah apabila perlawanan pertama dimulakan melalui sepak mula rasmi yang telah disempurnakan oleh YBrs Ts Dr Hj Azli Amin bin Ahmad Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.
Majlis sepak mula tersebut menandakan bermulanya kejohanan bola sepak tahunan yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim, menyemai semangat kesukanan serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga pelajar ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang.
Perlawanan pembukaan liga ini menyaksikan pertemuan sengit di antara pasukan TPM menentang pasukan TPP. Kedua-dua pasukan mempamerkan semangat juang yang tinggi serta aksi permainan yang bertenaga, sekali gus memberikan saingan menarik kepada para penonton yang hadir.
YBrs Ts Dr Hj Azli Amin bin Ahmad Raus berharap agar penganjuran liga ini dapat menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang sukan serta membentuk sahsiah pelajar yang berdisiplin, berdaya saing dan bersemangat kesukanan.
Liga Bola Sepak Piala Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang Sesi 1/2026 dijangka berlangsung dengan pelbagai perlawanan menarik melibatkan pasukan-pasukan yang bertanding, sekali gus menyemarakkan lagi suasana kampus dengan aktiviti sihat dan berfaedah.
