Tuan Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai, Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, telah dijemput menghadiri Majlis Sesi Lawatan Delegasi UK British Council ke Johor Talent Development Council (JTDC) yang berlangsung di Pejabat JTDC, Menara IIB, Iskandar Puteri pada 29 Jan 2026.
Sesi lawatan ini turut melibatkan kehadiran ahli-ahli akademik dari United Kingdom, bersama wakil Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), barisan pensyarah dan ketua jabatan, wakil Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) , IRDA serta PERKESO. Sesi ini menjadi platform penting bagi perbincangan strategik bertaraf antarabangsa antara Malaysia dan United Kingdom.
Perbincangan memfokuskan kepada potensi kerjasama dua hala dalam bidang akademik dan TVET, perkongsian kepakaran serta amalan terbaik antarabangsa, pembangunan bakat berkemahiran tinggi, kebolehpasaran graduan serta peluang kolaborasi melibatkan latihan, penyelidikan dan pemindahan teknologi sejajar dengan keperluan industri global.
Penglibatan ADTEC JTM dalam sesi ini mencerminkan komitmen institusi dalam memperkukuh jaringan kolaborasi antarabangsa serta menyokong agenda pembangunan modal insan berdaya saing di peringkat serantau dan global.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak JTDC dan UK British Council atas jemputan serta peluang berharga untuk terlibat dalam sesi lawatan dan perbincangan bertaraf antarabangsa ini.
