Johor Bahru, 23 April 2026 – Satu sesi perbincangan telah diadakan melibatkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Selatan bersama pihak ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan ADTEC JTM Kampus Batu Pahat, bertempat di pejabat JPK Wilayah Selatan pada hari ini.
ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang telah diwakili oleh Timbalan Pengarah Operasi, Tn. Hj. Zuraidy bin Kadir bersama Penolong Pengarah Bahagian Hubungan Industri dan Komunikasi Korporat, Pn. Norina binti Andang. Manakala pihak ADTEC JTM Kampus Batu Pahat diwakili oleh Timbalan Pengarah Operasi, En. Noorajla bin Abdul Jalil serta Pegawai CESS, Pn. Azila binti Md Nayi.
Sesi perbincangan yang dipengerusikan oleh Pengarah JPK Wilayah Selatan, Pn. Nor Asmah binti Daud, turut disertai oleh empat (4) orang pegawai kanan jabatan.
Perbincangan ini diadakan bagi membincangkan cadangan penganjuran program outreach oleh JPK Wilayah Selatan, yang akan dilaksanakan dengan kerjasama melalui program-program yang telah dirancang oleh kedua-dua kampus ADTEC.
Program outreach ini bertujuan untuk memberi pendedahan serta perkongsian maklumat berkaitan TVET dan UP_TVET kepada guru-guru kaunseling yang dijemput, di samping memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk merasai sendiri pengalaman latihan TVET yang dilaksanakan di kampus-kampus terlibat. Selain itu, turut dibincangkan aspek penyelarasan pelaksanaan aktiviti agar lebih tersusun, berimpak tinggi serta memberi manfaat kepada semua pihak.
Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh hubungan strategik antara JPK Wilayah Selatan dan kampus ADTEC, di samping meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program pada masa akan datang.
